PKR tidak goyang Pas ‘bergabung’ dengan BN - Utusan Malaysia

PKR tidak goyang Pas ‘bergabung’ dengan BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 23 Julai – Calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni tidak goyang sekiranya Pas bergandingan de­ngan Barisan Nasional (BN) untuk berkempen di kawasan tersebut.

Malah, Mohd. Zawawi menyuarakan keyakinan bahawa kesemua pengundi Pas yang mengundi parti itu pada pilihan raya umum lalu akan terus memihak kepadanya pada pilihan raya kecil kali ini.

“Terserah kepada Pas sekiranya mereka mengisytiharkan untuk bergabung dengan BN sepanjang musim berkempen ini kerana ia adalah hak masing-masing.

“Bagaimanapun, kita yakin kesemua pengundi Pas yang mengundi mereka akan memihak kepada saya. Ini kerana mereka mahu seorang yang mempunyai pemikiran Islam dan sahsiah baik untuk menjadi ketua,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis menyaksikan pertan­dingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, Mohd. Zawawi dan K. Murthy (Bebas).

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhami Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Mat Shuhami yang mewakili PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu, memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 12,480 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi yang juga merupakan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama parti itu berkata, pihaknya optimis bahawa kemenangan di DUN Sungai Kandis akan terus memihak kepada parti itu.

“Hasil berkempen selama tiga hari, saya melihat bahawa pe­nerimaan rakyat berada dalam keadaan memuaskan kerana ramai hendak mengambil gambar bersama.

“Ini memberi petanda baik kepada parti kerana pengundi semua tidak bermasam muka dan saya akan berkongsi segala aduan daripada rakyat Sungai Kandis dalam masa terdekat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN