KUALA LUMPUR 18 Julai – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menyambut baik dan menyokong penuh keputusan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon presiden parti itu pada pemilihan parti kali ini.
Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata semua anggota parti sememangnya telah lama menunggu Anwar kembali mengemudi parti itu dan seterusnya memimpin negara kerana kepimpinannya diyakini boleh memantapkan parti bagi menghadapi cabaran dalaman mahupun luaran.
“Sepanjang tempoh 20 tahun PKR berada di persada politik negara kami telah berjaya menyuburkan benih demokrasi dalam negara kita. Ini terbukti apabila parti lawan iaitu UMNO telah keluar daripada amalan tradisi yang tidak membenarkan pertandingan jawatan tertinggi parti.
“Tetapi hari ini jawatan presiden, timbalan presiden serta naib presiden dipertandingkan secara terbuka dan boleh dicabar oleh sesiapa sahaja. Justeru dengan semangat Malaysia Baharu ini, kami di PKR tidak boleh terlepas daripada merayakan pesta demokrasi ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mansor berkata PKR negeri turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah mengemudi parti dengan cemerlang sehingga memperoleh kemenangan besar sehingga berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
“Tanpa kekuatan kepimpinan mereka berdua adalah amat sukar bagi parti untuk maju dan disegani ramai. Tidak dilupakan kepimpinan parti lain di semua peringkat,” katanya.
Pada Ahad lepas Anwar membuat keputusan untuk menawar diri bertanding jawatan presiden PKR pada pemilihan parti akan datang setelah berbincang dengan Dr Wan Azizah, Mohamed Azmin dan kepimpinan, serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan parti berkenaan.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata pihaknya yakin dan percaya Anwar sememangnya layak untuk memegang jawatan presiden dengan mengambil kira jasa dan pengorbanan beliau yang tidak terhingga kepada parti, rakyat dan negara.
“Lebih menyakinkan lagi pengalaman beliau yang sangat luas dalam arena politik tanah air dan antarabangsa. Dengan perubahan landskap politik hari ini, PKR Negeri Sembilan yakin Datuk Seri Anwar dapat memberikan satu impak dan anjakan paradigma yang jauh lebih besar dalam membentuk suasana serta dimensi baru dalam politik tanah air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Ahad lepas, Anwar dilapor menawar diri bertanding jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti akan datang, yang dijaduakan berlangsung pada September depan.
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi PKR dan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata seluruh pimpinan di negeri ini menyokong dan menyambut baik hasrat Anwar itu.
“Oleh itu, sekiranya Datuk Seri Anwar diberikan mandat oleh anggota parti, beliau diyakini mampu memperkasakan keutuhan Pakatan Harapan dalam mendepani cabaran dan tribulasi perjuangan yang saling menguji.
“PKR Negeri Sembilan yakin beliau akan berjaya membawa parti ke satu tahap yang lebih tinggi serta dihormati dan disanjungi oleh kawan dan lawan.
“Sehubungan dengan itu, akar umbi PKR Negeri Sembilan sedia memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Anwar untuk dipilih sebagai presiden dalam membentuk Malaysia Baru yang lebih peduli rakyat,” katanya.
— BERNAMA










