SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan aura pemimpin-pemimpin tertingginya dalam membantu kempen kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos depan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini termasuklah Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM); Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (Presiden Amanah) dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ( Setiausaha Agung DAP).
“Kita sedar (satu lawan satu) dan sebab itu PH menghantar satu nama sahaja dalam memastikan ada pertarungan.
“Kita akan memastikan jentera untuk PRK ini tersusun dan kemas dibantu Mahathir, Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Timbalan Perdana Menteri), Muhyiddin, Mohamad dan Guan Eng yang akan turun berkempen bagi mengekalkan kerusi DUN Sungai Kandis,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir program jalinan budi dan rakan strategik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) negeri Selangor di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7 di sini.
Amirudin berkata demikian bagi mengulas tindakan UMNO bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) akan berbincang bersama Pas untuk meletakkan hanya seorang calon pembangkang bertanding pada PRK DUN Sungai Kandis, 4 Ogos ini.
Mengulas lanjut, Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, menjelaskan pihaknya yakin sokongan masyarakat terhadap PKR khususnya masih kukuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.
“Buktinya, apabila Tabung Harapan yang diwujudkan telah dapat mengumpul RM130 juta setakat ini selain PH berjaya melaksanakan enam daripada 10 manifesto.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh berdiam diri dan akan mengumpul cara serta kaedah bagi mengekalkan kemenangan,” katanya. – K! ONLINE










