Perompak tetak tiga mangsa dicekup - Utusan Malaysia

Perompak tetak tiga mangsa dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI 23 Julai – Seorang lelaki tidak sempat menikmati wang RM2,000 yang dirompak dari sebuah stesen minyak di Desa Senadin di sini, apabila berjaya ditangkap orang awam semasa cuba melarikan diri semalam.

Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Aldrin Junaidi Kutoi berkata, dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, suspek bukan sahaja merompak tetapi turut menetak dua pekerja wanita di stesen minyak berkenaan.

Katanya, turut ditetak ialah bapa kepada seorang pekerja terbabit yang ditetak di bahagian muka semasa cuba mengejar dan memberkas suspek.

“Dalam kejadian itu, dua wanita berusia 19 dan 22 tahun yang merupakan pekerja stesen minyak mengalami kecederaan parah di bahagian tengkorak dan belakang badan setelah ditetak suspek yang berpura-pura mahu membeli barang di kedai terdapat di situ, sebelum melakukan rompakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, suspek sempat membuka mesin juruwang dan melarikan wang tunai RM2,000 sebelum ditangkap oleh orang ramai yang menyedari kejadian itu.

Katanya, suspek yang turut cedera dipukul orang awam kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN