SHAH ALAM – Permohonan permit ceramah bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis boleh dibuat secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, permohonan melalui kaedah yang julung-julung kali diperkenalkan itu hanya boleh dibuat oleh calon atau ejen calon yang bertanding.
“Mereka boleh e-mel sahaja permohonan permit itu ke [email protected],” katanya ketika ditemui pemberita pada penamaan calon PRK berkenaan di sini hari ini.
Jelas beliau, permohonan untuk permit itu bagaimanapun hanya bagi ceramah yang diadakan di kawasan pentadbiran polis Shah Alam sahaja.
“Bagi ceramah di Klang Selatan, permohonan perlu dibuat (kepada pihak berkuasa) di sana,” kata Baharudin.
Menurutnya, permohonan permit untuk ceramah sebelum ini hanya boleh dibuat secara manual di ibu pejabat polis daerah.
PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos depan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas. – Bernama









