KUALA LUMPUR 8 Julai – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantah keras saranan Tan Sri Zainuddin Maidin supaya sekolah-sekolah tahfiz di negara ini ditutup, dan menyifatkan kenyataan bekas Menteri Penerangan itu sebagai dangkal serta kurang ajar.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkara, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, kenyataan tersebut juga dilihat boleh mencabar aspirasi umat Islam dalam negara ini dan pada sama seolah-olah menunjukkan kebencian Zainuddin terhadap institusi dan sekolah tahfiz.
“Kenapakah Zainuddin bersikap sebegini dan apakah yang menghalang beliau untuk menerima hakikat bahawa kebanyakan umat Islam negara ini memilih untuk menghantar anak masing-masing ke institusi tahfiz?
“Kenapakah pula dinyatakan dengan menutup sekolah tahfiz dapat membawa keluar umat Islam daripada amalan agama jumud, bukankah pernyataan ini berniat jahat dan merupakan satu pandangan serong?” tegas Amini Amir dalam kenyataan di sini hari ini.
Menerusi catatan dalam blognya semalam, zamkata.blogspot.com, Zainuddin turut menulis ‘Pertama sekali, langkah mesti diambil untuk menutup semua sekolah tahfiz di negara ini yang tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baru Islam’.
Beliau turut menulis ‘Cegahlah sekolah-sekolah agama menjadikan pakaian Arab sebagai uniform sekolah. Galakkan memakai songkok, berseluar dan berkemeja. Cegah kopiah dan berjubah. Sunnah Nabi tidak ada lagi dalam jubah yang telah pun dimodenkan oleh commercialism’.- UTUSAN ONLINE










