KUALA LUMPUR 13 Julai – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pemantau Malaysia Baru, akan berarak ke bangunan Parlimen pada pagi Isnin ini sempena persidangan pertama Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebagai tanda sokongan pertubuhan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
![]() |
|
LOKMAN NOOR ADAM
|
Presidennya, Datuk Lokman Noor Adam berkata,mereka yang terlibat dalam perarakan juga tidak akan menjerit ketika berarak sebagai simbolik hilangnya hak Seri Paduka untuk bersuara dan menjalankan tanggungjawab mempertahankan Islam dan kepentingan orang Melayu.
“Kita akan berarak dengan mulut ditutup dengan pita pelekat dan tangan diikat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Dakwanya, cakap-cakap sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal membentuk kerajaan Pusat mampu menyebabkan Islam serta hak isitimewa kaum Melayu tergadai, semakin hampir menjadi realiti apabila beberapa jawatan penting pentadbiran negara kini disandang oleh mereka yang bukan beragama Islam dan kaum Melayu. – UTUSAN ONLINE












