SHANGHAI 10 Julai – Pihak berkuasa China bertindak memenjarakan ratusan pegawai kerajaan kerana kegagalan mereka menangani isu perlanggaran alam sekitar dalam pemeriksaan yang dibuat sepanjang tahun lalu.
Tindakan itu merupakan sebahagian daripada pusingan baharu perang terhadap pencemaran yang diketuai Presiden Xi Jinping.
Kementerian Alam Sekitar memaklumkan, secara keseluruhannya sebanyak 4,305 pegawai kerajaan di 10 wilayah dan daerah telah dipertanggungjawabkan kerana kegagalan mereka memberikan penjelasan dengan ada antaranya berdepan denda dan penjara.
Bermula pada penghujung Mei lalu, penyiasat kerajaan mula meneliti semula ribuan salah laku yang ditemukan semasa audit alam sekitar seluruh negara dan mendapati kebanyakan masalah itu tidak diselesaikan dengan sempurna.
Pegawai pemeriksa itu pada masa sama menuduh kerajaan tempatan dan syarikat milik kerajaan di seluruh negara melakukan kerja pembaikan secara sambil lewa dan menipu.
“Denda keseluruhan sebanyak 510 juta yuan (RM310 juta) telah dikeluarkan di 10 daerah termasuk dua syarikat pengeluar keluli terbesar di wilayah Hebei dan Jiangsu serta Yunnan dan Ningxia selain Guangdong,” jelas kementerian terbabit.
Pemeriksaan kali ini melibatkan sebanyak 28,076 perlanggaran dengan sebanyak 464 pegawai tertakluk kepada tindakan tahanan pentadbiran atau jenayah.
China berada pada tahun kelima dalam memerangi pencemaran dan Mei lalu Jinping berikrar kerajaan akan menggunakan kekuatan penuh Parti Komunis untuk menangani masalah alam sekitar yang berlarutan. – REUTERS











