Perak tekad kekal rentak positif - Utusan Malaysia

Perak tekad kekal rentak positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKUAD Perak akan meneruskan rentak permainan me­nyerang dalam perlawanan terakhir Liga Super menentang kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Sabtu ini selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Kedah di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.

Pengendalinya, Mehmet Durakovic berkata, mod menyerang yang digunakan anak-anak buahnya di atas padang pada musim ini menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila kini berada di tangga kedua liga dengan baki satu perlawanan.

“Kami bermain dengan corak menyerang dan ia dilakukan sejak awal musim Liga Super.

“Saya bangga dengan para pemain dan keputusan malam ini (kelmarin) tidak mengecewakan. Semua pemain beraksi dengan baik dan ia perlawanan yang sengit walaupun tiada ja­ringan dihasilkan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.

Tambah Durakovic, Perak tidak kecewa hanya mendapat satu mata pada perlawanan tersebut kerana beberapa percubaan pemainnya berjaya dinafikan penjaga gol Kedah, Moha­mad Ramdhan Ab. Hamid.

“Ramdhan beraksi de­ngan cemerlang dan dia berjaya menepis beberapa percubaan tepat Perak ke gawang Kedah,” jelasnya.

Dalam perlawanan tersebut, beberapa peluang daripada kedua-dua pasukan dinafikan penjaga gol selain dua jaringan Perak dibatalkan kerana pemain berada dalam kedudukan ofsaid dan keputusan perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Sementara itu, pengurus Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin bersyukur selepas pasukannya berjaya mengutip satu mata di ge­langgang lawan walaupun ramai pemain utama mengalami kecederaan.

“Ketiadaan pemain utama menjejaskan rentak permainan dan harapan kita agar dapat terus me­ngutip mata dalam usaha untuk berada di tempat ketiga Liga Super,” katanya.

Mengulas mengenai tiga pemain Kedah yang dipanggil untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan bawah 23 tahun, pihak pengurusan skuad Helang Merah tiada masalah untuk melepaskan mereka untuk melaporkan diri pada 30 Julai nanti.

“Apa yang kita bimbang ialah pemain yang dipanggil itu mendapat kecede­raan selepas kembali kepada pasukan. Ia boleh menjejaskan persiapan pasukan untuk menghadapi saingan Piala Malaysia nanti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN