Pengusaha kian resah - Utusan Malaysia

Pengusaha kian resah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 22 Julai – Pengusaha durian jenis Musang King di negeri ini me­ngakui pengeluaran raja buah itu meningkat disebalik kejatuhan harga ekoran lambakan musim buah durian pada tahun ini.

Mereka bagaimanapun meraih keuntungan sedikit apabila harga durian jenis itu untuk pasaran eks­port kini hanya RM35 sehingga RM40 sekilogram berbanding pada tahun lepas mampu dijual melebihi RM100 sekilogram.

Pengusaha durian Musang King di Kampung Pulai di sini, Chong Yok Fon, 50, atau berkata, pada tahun ini, dusunnya mengeluarkan hasil 4,000 biji durian Musang King berbanding hanya 600 biji pada tahun lalu.

Katanya, setiap hari dia akan menghantar 240 kilogram buah itu kepada ejennya di Bentong, Pahang.

Buah itu kemudiannya akan dieksport ke pasaran luar negara seperti Hong Kong, Singapura, Macau dan Indonesia.

“Kita melihat tanaman durian menjadi pada tahun ini apabila hasilnya banyak sehingga berlaku lambakan.

“Walaupun harga durian Musang King agak mahal tetapi masih mendapat permintaan tinggi kerana isinya yang lemak manis dan pahit serta berbau ha­rum,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pada tahun lepas juga dia mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila buah duriannya di kebunnya dicuri dan dimakan binatang.

Katanya, pada tahun ini dia te­lah mengupah lima pekerja untuk memantau keadaan dusun dan memasang jaring bagi menjaga kualiti buah.

Seorang lagi pengusaha Musang King, Chong Lip Meng, 45, berpendapat kejatuhan harga durian Musang King sehingga RM20 sekilogram di pasaran tempatan pada awal bulan ini disebabkan permintaan berkurangan akibat saingan dengan lambakan durian jenis biasa.

Katanya, pada tahun ini dia hanya menjual durian ke pasaran luar negara sahaja.

“Biarpun harga eksport agak rendah tahun ini, kami tetap menjualnya.

“Kami melihat tahun ini semua pekebun durian boleh cari makan apabila buah yang ditanam mereka mengeluarkan hasil yang banyak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×