ALOR SETAR 27 Julai – Pengorbanan Kedah sejak sekian lama dalam mengekalkan tanah sawah bagi tujuan penghasilan beras selaku sumber makanan utama negara selain pengekalan hutan simpan demi kelangsungan sumber air termasuk untuk kegunaan negeri jiran, sewajarnya dihargai oleh Kerajaan Persekutuan.
![]() |
|
Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri
|
Justeru menurut Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri, negeri ini juga sewajarnya diberi pampasan seumpama royalti minyak seperti yang dituntut Sabah dan Kelantan ketika ini.
“Melihat bagaimana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan komitmen untuk mengembalikan 20 peratus royalti minyak kepada kedua-dua negeri itu, mungkin Kedah juga perlu meneruskan kembali tuntutan pampasan seumpama royalti kerana negeri ini banyak berkorban selaku jelapang padi negara.
“Apatah lagi Menteri Besar terdahulu seperti Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah pernah memperjuangkan pampasan berkenaan dan perkara itu seharusnya diteruskan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya satu nilai pampasan tahunan yang munasabah diperoleh dan mungkin boleh dipertimbangkan untuk menyamai royalti bagi negeri pengeluar minyak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya ketika ini Kedah perlu mengekalkan lebih 115,000 hektar tanah sawah sebagai kawasan strategik makanan negara selain 300,000 hektar hutan simpan di Pedu dan Ulu Muda bagi memastikan bekalan air yang menjadi sumber minuman dan pertanian di negeri ini, Pulau Pinang dan Perlis tidak terjejas.
Keadaan itu katanya memaksa Kedah tidak boleh mengkomersialkan tanah-tanah sawah selain tidak dapat memanfaatkan khazanah balak bernilai berbilion ringgit yang ada demi pembangunan negeri.
“Pada 2001 sudah ada kelulusan secara dasar oleh Kabinet untuk membayar pampasan tahunan kepada Kedah dengan nilai yang belum diluluskan namun perkara itu tidak pernah dilaksanakan.
“Selaku ahli Dewan Rakyat, Mukhriz mesti mengusulkan segera perkara ini dalam perbahasan Parlimen bagi mengingatkan Perdana Menteri supaya tidak menyisihkan Kedah,” katanya.
Tambahnya, jika kerajaan negeri benar-benar komited meningkatkan hasil negeri, perkara ini harus diperjuangkan dengan rundingan segera perlu dilakukan.
“Penyelesaian untuk mendapatkan nilai pampasan yang wajar tidaklah menjadi terlalu rumit memandangkan Perdana Menteri juga merupakan anak kelahiran Kedah,” katanya.
– UTUSAN ONLINE











