PENAMPANG – Seorang pengawal keselamatan diberkas kerana dipercayai melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kawasan perumahan di sekitar Putatan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, suspek berusia 28 tahun berkenaan dikatakan menarik kanak-kanak berusia 11 tahun terbabit ke dalam pondok keselamatannya.
Difahamkan, suspek yang sedang bertugas bertindak mencium pipi dan leher mangsa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, tindakan suspek terbongkar selepas mangsa memaklumkan kejadian berkenaan kepada keluarganya.
“Sebelum insiden, mangsa dalam perjalanan ke sekolah namun, secara tiba-tiba suspek menariknya ke dalam pondok pengawal lalu mencium leher dan pipi mangsa.
“Mangsa cuba menjerit tetapi diugut dan suspek berjanji memberikannya wang. Bagaimanapun, kanak-kanak itu segera memaklumkan perkara tersebut kepada penjaganya,” katanya hari ini.
Tambah Mohd. Haris, siasatan lanjut mendapati keluarga mangsa turut menetap di kawasan perumahan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Sek.14 (1)(a)Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017. – K! ONLINE











