Pengaruh Islam terhadap peribahasa Melayu - Utusan Malaysia

Pengaruh Islam terhadap peribahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKU ini mengandungi 50 peribahasa Melayu yang disunting dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh untuk dikongsikan dengan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

 

Semua peribahasa ini telah di­pilih secara peribadi oleh beliau yang setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri. Usaha beliau itu mempunyai dua tujuan iaitu pertama, untuk mengemba­likan kesegaran peribahasa lama dengan nafas baharu dan kedua, bagi berkongsi kebijaksanaan pen­­cipta peribahasa dengan ma­sya­rakat seluruhnya. Di tangan Mu­hammad peribahasa lama kem­bali digilap dan menjadi bertam­bah berseri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naskhah dalam dwibahasa itu turut disertakan penerangan maksud peribahasa secara ringkas bagi memudahkan pembaca memahami nasihat yang cuba disampaikan.

Pemilihan Muhammad, 76, sebagai editor buku ini adalah amat bertepatan kerana selain bahasa Melayu, beliau juga menguasai bahasa Inggeris dengan baik termasuk pernah mencipta puisi dalam bahasa berkenaan.

Latar belakang beliau yang per­­nah mendapat pendidikan di Amerika Syarikat dan kebolehannya mencipta puisi dalam bahasa Inggeris dengan baik menyebabkan Muhammad sering digelar ‘penyair intelektual’, gelaran yang sukar diperoleh sasterawan di negara ini.

Sebanyak 10 ilustrasi oleh pelukis, Enche Abdullah Kadir turut dimuatkan dalam buku ini bagi membolehkan pembaca memahami maksud peribahasa secara lebih jelas.

Secara umumnya, peribahasa adalah ayat, kumpulan kata atau ungkapan yang mempunyai maksud tertentu dan secara halus menyampaikan nasihat, teguran, sindiran, pengajaran, pandangan, maklumat dan panduan.

Manakala bagi Muhammad pula, peribahasa Melayu adalah himpunan ku­mulatif ciptaan bangsa-bangsa berbahasa Melayu. Tambah beliau lagi, dalam peribahasa terdapat pelbagai khazanah untuk direnungkan termasuk pemikiran orang Melayu dalam kehidupan seharian.

Jika diperha­tikan secara ter­perinci, pe­ribahasa yang dimuatkan dalam buku ini adalah berasaskan kepada ayat al-Quran dan ha­dis Rasulullah SAW.

Ini menunjukkan nasihat yang diberikan orang Melayu dalam bentuk peribahasa selari dengan ajaran Islam.

Sebagai contoh terdapat pe­ri­bahasa dalam buku ini yang berbunyi, ‘Seperti ilmu padi, makin merunduk makin berisi’.

Ini membawa maksud semakin banyak ilmu di dada atau semakin tinggi pangkat serta kekayaan seseorang itu, haruslah merendah diri.

Peribahasa itu juga berkait rapat dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi ini dengan sombong, kerana sesungguh­nya engkau ti­dak akan dapat menembus bumi dan tidak akan dapat menya­mai setinggi gunung.” (Surah Al-Isra’ ayat 37).

Contoh peribahasa lain ialah ‘Jikalau ular menyusur akar, ti­dak akan hilang bisanya’. Ia bermaksud orang besar atau mulia tidak akan hilang atau jatuh martabatnya apabila beliau merendah diri. Bahkan beliau akan dipandang tinggi oleh Allah dan manusia.

Meneliti fizikal buku ini, terserlah pula keunikannya. Antaranya setiap peribahasa ditulis semula dalam bentuk khat oleh anak muda, Mohammad Firdaus Mahadi. Abjad khat yang sederhana besar memudahkan dibaca warga tua dan pada masa sama bertujuan mengangkat martabat tulisan jawi.

Jika diamati, terdapat tulisan khat yang memaparkan imej buah keranji bertangkai di setiap muka surat yang tidak mengandu­ngi ilus­trasi. Pokok keranji se­memang­nya sinonim dengan ta­naman yang menghuni laman ke­diaman Sasterawan Negara ini.

Segala yang dipaparkan dalam buku ini akan membuat pembaca sedar betapa indahnya peribahasa Melayu. Sehubungan itu, diharapkan masyarakat Malaysia tidak melupakan untuk menggunakan peribahasa dalam ucapan dan penulisan mereka bagi memastikan komunikasi harian bertambah indah dan manis.

Langkah itu secara tidak langsung dapat memelihara kha­zanah warisan bangsa berkenaan dan memastikan peribahasa ti­dak pupus dengan peredaran zaman.

Sebagai penutup, dipetik pe­ri­bahasa yang menjadi ilustrasi yang menghiasi kulit depan buku ini iaitu ‘Seperti air di daun keladi’ yang membawa mak­sud tindakan tidak berkesan atau kekal.

Peribahasa ini seolah-olah me­nyampaikan mesej tersirat iaitu gunakan peribahasa sedia ada di dalam buku ini, agar tidak menjadi sia-sia.

Pihak yang berminat untuk membeli buku ini boleh melayari laman web www.kedaibudaya.com atau menghubungi Pusat Kebudayaan USIM pada talian 06-7986146.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×