JAKARTA 16 Julai – Penduduk di sebuah perkampungan di daerah Sorong, wilayah Papua Barat bertindak membunuh dan menyembelih 292 buaya menggunakan pisau, tukul dan belantan bagi membalas dendam atas kematian seorang lelaki yang dibaham reptilia itu baru-baru ini.
Beberapa keping gambar yang disiarkan oleh agensi berita Antara menunjukkan bangkai buaya yang masih berdarah dalam longgokan besar di sebuah ladang pembiakan haiwan tersebut di daerah berkenaan.
Ketua Badan Pengelola Sumber Alam di Papua Barat, Basar Manullang dalam satu kenyataan memaklumkan, lelaki terbabit berusia 48 tahun dikatakan masuk ke ladang itu untuk memotong rumput sebelum diserang seekor buaya.
“Pekerja mendengar seseorang menjerit meminta tolong dan bergegas ke lokasi kejadian. Namun, dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihat mangsa diserang buaya,” katanya.
Beliau memberitahu, selepas pengebumian mangsa pada Sabtu lalu, penduduk kampung memasuki ladang itu dan membunuh semua buaya.
Jelasnya, ladang tersebut diberi lesen pembiakan untuk melindungi spesies buaya New Guinea pada 2013 serta beberapa haiwan lain.
“Tetapi, salah satu syarat ialah reptilia tersebut tidak mengganggu penduduk setempat. Untuk mengelak kejadian sama berulang, pemegang lesen perlu memastikan keselamatan kawasan sekitar,” katanya.
Tambah beliau, agensinya kini sedang bekerjasama dengan pihak polis untuk menyiasat kejadian itu. – REUTERS










