SABAK BERNAM – Penurunan mendadak harga buah durian di beberapa negeri mungkin menjadi berita gembira buat pengguna namun lain pula halnya dengan peniaga apabila rata-rata mendakwa pendapatan mereka terjejas namun masih mampu mendapat untung kecil.
Seorang peniaga di pasar malam Pekan Sabak Bernam di sini, Razali Lan, 63, mendakwa pendapatannya merosot kira-kira 40 peratus ekoran harga jualan durian lebih murah ekoran berlaku lambakan bekalan sejak dua minggu lalu.
Dakwa peniaga durian sejak 20 tahun lalu itu, dia hanya mampu menjual kira-kira 200 kilogram (kg) sehari berbanding 500 kg durian kampung sebelum ini.
“Musim lalu permintaan masih tinggi walaupun harga mahal dan saya mampu jual sampai 500 kg. Bagaimanapun kali ini, permintaan tidak sehebat dahulu walaupun harga durian murah.










