KUALA LUMPUR 2 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dibidas kerana gagal mengikut senarai calon anggota Kabinet seperti mana dicadangkan oleh kepemimpinan DAP termasuk pemilihan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen.

Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh turut mempersoal sama ada Perdana Menteri akan menolak Setiausaha Agung partinya memegang jawatan sebagai menteri pada masa hadapan.
“Kini, cadangan yang dikemukakan oleh DAP telah diketepikan, jadi pada suatu nanti sekiranya Setiausaha Agung DAP juga ditolak pelantikannya atas sebarang alasan, adakah DAP akan dipaksa untuk menerima keputusan demikian?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Kah Woh mengkritik barisan Kabinet baharu dengan menyifatkan pelantikan itu tidak mencerminkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh DAP.
“Tindakan Perdana Menteri dilihat tidak wajar memandangkan senarai Kabinet itu tidak mengikut bilangan kerusi yang dimenangi oleh setiap parti. Malah, keputusan itu juga tidak menghormati cadangan kepemimpinan komponen parti tersebut.
“Apabila keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk memilih dan melantik menteri, ini bermakna beliau akan melantik menteri daripada senarai calon dikemukakan oleh parti berkenaan.
“Perdana Menteri harus menghormati pilihan komponen parti dalam Pakatan Harapan agar dapat membentuk sebuah Kabinet yang sempurna,” katanya.










