KUALA LUMPUR 13 Julai – Pemimpin kerajaan yang bersetuju dengan usaha meluluskan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) disifatkan sebagai pemimpin tempoyak kerana tidak memiliki jati diri serta semangat kebangsaan.
Bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, jika kerajaan mahu melaksanakan usaha tersebut atas alasan manifesto, sebenarnya ada banyak lagi perkara yang perlu diberikan keutamaan seperti pemansuhan tol dan menangani masalah kenaikan harga barang.
Tegas beliau, soal pendidikan tidak boleh dipandang mudah dan perlu dikaji secara mendalam kerana dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan kaum.
“Jika (UEC) diiktiraf semata-mata hendak memenuhi kehendak pilihan raya dan kehendak kaum minoriti tetapi majoriti rakyat tidak bersetuju beerti kerajaan sendiri mewujudkan ketegangan antara kaum.
“Bagi saya pemimpin dan pihak yang beriya sangat mengiktiraf UEC tanpa ambil kira Dasar Pendidikan Kebangsaan, Perlembagaan dan sebagainya saya anggap mereka sebagai pemimpin tempoyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran buku Affirmative Action In Malaysia Paradigm Shifts In Higher Education yang disempurnakan oleh Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arsyad Ayub sini hari ini.
Buku tersebut adalah tulisan bersama Ibrahim dengan bekas pensyarah UiTM, Prof. Dr. R. Sankaran. – UTUSAN ONLINE










