PETALING JAYA – Tindakan undang-undang bakal dikenakan terhadap pemilik akaun yang gagal untuk memulangkan wang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull berkata, tindakan yang akan diambil adalah lucutkan harta dan saman.
“Matlamat Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB adalah untuk mendapatkan kembali kesemua wang 1MDB yang berjumlah RM1.1 bilion sehingga kini.
“Wang tersebut menjadi ‘wang haram’ apabila dimasukkan secara salah dan pemilik akaun perlu tunjukkan bukti jika benar itu wang milik mereka,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran buku ‘Corruption and Crime in Malaysia’ di Kedai Buku GerakBudaya di Seksyen 11 di sini hari ini.
Shukri Abdull menambah, akaun-akaun yang dibekukan setakat ini tidak termasuk akaun di luar negara.
“Kami juga mendapat kerjasama yang sangat baik daripada negara-negara luar berhubung siasatan kes berkenaan.
“Tidak mustahil akan ada lagi akaun yang dibekukan selepas ini,” ujarnya
Kosmo! hari ini melaporkan Pasukan Petugas Khas 1MDB telah membekukan sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion daripada akaun milik individu, pertubuhan, parti politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada 26 dan 29 Jun lalu. – K! ONLINE









