SHAH ALAM 13 Julai – Pemegang rekod jelajah solo berkasut roda Malaysia Book of Records (MBOR), Azam Mohd. Shidid kini mengorak langkah dengan menyertai Kejohanan Orienteering Universiti Dunia di Kuortane, Finland sebagai wakil Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) dari 14 hingga 22 Julai ini.
Menurut Azam yang juga pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), demi kejayaan dalam pertandingan berprestij tersebut, dia sanggup berlatih dalam bulan Ramadan dan memendekkan cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Sebelum ini saya memenangi Kejohanan Orienteering Asia 2017 di Gopeng dan kejohanan sama di Tanjung Malim.
“Sasaran saya untuk memenangi tempat ke-10 dalam setiap acara yang saya sertai di Finland nanti, “ katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM di sini, semalam.
Yang hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Datuk Abdullah Mohd. Said.
Azam yang akan menyertai acara jarak sederhana dan pecut meletakkan sasaran tempat ke-10 disebabkan masih belum mengetahui kekuatan pencabarnya.
“Justeru saya telah membuat persiapan rapi dengan menyertai kejohanan sukan lasak di dalam negara sepanjang tahun ini untuk mengekalkan momentum,” katanya.
Antara negara yang menyertai kejohanan tersebut ialah Amerika Syarikat, China, New Zealand dan Jepun. – UTUSAN ONLINE










