KUALA LUMPUR – Seorang pemborong barang kemas terkenal dari Lebanon memfailkan saman terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor bagi memulangkan atau membayar semula 44 barangan kemas yang berjumlah AS$14.79 juta (RM59.34 juta) yang dihantar kepadanya pada Februari lalu.
Global Royalty Trading SAL selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Rosmah selaku defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.
Semalam merupakan pengurusan kes tersebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Siti Faraziana Zainuddin.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, firma yang berada di Beirut, Lebanon itu mendakwa Rosmah selaku defendan ialah pelanggan lama dan menjadi kebiasaan syarikat itu juga menjual barangan kemas di seluruh dunia termasuk kepada keluarga diraja.
Plaintif mendakwa seperti pada tahun-tahun sebelumnya, plaintif akan menghantar barangan kemas kepada defendan mengikut permintaannya bagi penilaian.
Plaintif menerusi memorandum bernombor 926 bertarikh 10 Februari lalu telah menghantar 44 unit barangan kemas antaranya kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara pada harga paling murah adalah subang berlian AS$124,000 (RM497,164) dan paling mahal cincin berlian AS$925,000 (RM3.7 juta) . – K! ONLINE











