KUALA TERENGGANU 23 Julai – Tawaran RM300 kepada golongan muda bagi pembiayaan mendapatkan lesen motosikal yang terkandung dalam manifesto Pas negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 kemungkinan hanya dapat dilaksanakan bermula awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, peruntukan yang dianggarkan sebanyak RM9 juta akan dimasukkan dalam Bajet 2019 hujung tahun ini.
Beliau mensasarkan kira-kira 30,000 belia terutama berumur 15 tahun ke atas layak menikmati tawaran itu bagi mendapatkan lesen seperti yang dijanjikan.
“Pihak kami telah bertemu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, pemilik institut memandu dan Jabatan Pendidikan negeri berkaitan perkara itu dan tahap perancangan serta perangkaan kerja kini dalam peringkat akhir,”ujarnya melalui portal berita kerajaan negeri hari ini.
Menurut beliau, tumpuan utama pelaksanaan janji itu, mahu mengurangkan bebanan keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM350 untuk mendapatkan lesen di samping mengurangkan kadar kemalangan.
Katanya, kerajaan negeri juga berharap gejala merempit dapat disifatkan di samping mendidik mereka agar memahami dan mematuhi undang-undang jalan raya.
Katanya, berdasarkan kajian, peningkatan kadar kemalangan dan adanya aktiviti merempit, kurangnya pengetahuan undang-undang jalan raya. – UTUSAN ONLINE










