KULIM 10 Julai – Seorang pemandu di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dekat sini putus tangan kanan selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di kawasan Perindustrian Kulim Hi-Tech di sini hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Yusri Yusup, 33, dari Taman Mutiara, Sungai Kob, menaiki motosikal jenis Yamaha 125 ketika terlibat dalam kemalangan di simpang hadapan Kilang Intel.
Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Waja dari arah Kilang Lama membelok ke arah kanan untuk masuk ke kawasan kilang.
“Bagaimanapun, ketika sedang membelok, muncul sebuah motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah Sungai Kob di bahagian sebelah kiri dan melanggar kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pemandu kereta Proton Waja yang terlibat dalam kemalangan itu, G.Vikineswaran, 43, dari Taman Pancur, Nibong Tebal, Pulau Pinang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Akibat kemalangan itu, Mohd Yusri telah tercampak ke dalam longkang konkrit hadapan kilang berkenaan dan putus tangan sebelah kanan dipercayai terkena besi tembok di situ,” katanya.
Ahmad Nasir memberitahu, mangsa dibawa ke hospital Kulim bersama tangannya yang putus dengan sebuah ambulans dan kemudian terus dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang.
“Mangsa di rujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk mendapat rawatan lanjut dalam usaha menyambung kembali tangan yang putus itu,” jelasnya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.











