SHAH ALAM 13 Julai – Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan yang dipandunya secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di kawasan selekoh susur masuk ke Tol Shah Alam dari arah Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohd. Aidi Mohd. Nordin, 35, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan maut di tempat kejadian selepas tersepit di dalam kabin treler.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, lori treler dipandu mangsa melalui laluan susur masuk Tol Shah Alam.
“Namun, kenderaan dipandunya telah hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di kawasan selekoh susur.
“Mangsa pemandu tersepit di dalam kabin kenderaan dipandunya dan meninggal di tempat kejadian. Tempoh masa diperlukan untuk mengeluarkan pemandu kira-kira sejam dan satu lorong ditutup bagi proses mengalihkan kenderaan dan mengeluarkan mangsa,” katanya di sini malam ini.
Tambahnya, pihaknya meminta orang ramai atau saksi kejadian tampil di mana-mana balai berhampiran untuk menyalurkan maklumat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE










