SELEPAS gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan sebelum ini Selangor akhirnya kembali menemui rentak apabila berjaya menundukkan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) 2-0 ketika bertandang ke tempat lawan di Stadium Perak, kelmarin.
Pengendali termuda Liga Super, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir memberitahu, meskipun pasukan menurunkan ramai pemain muda, namun beliau sangat berpuas hati dengan penampilan mereka ketika beraksi di Ipoh dalam misi untuk menamatkan kemarau kemenangan skuad Gergasi Merah.
“Saya banyak turunkan pemain muda dan kesannya mereka berjaya membuktikan sesuatu kepada saya seperti mana yang diimpikan oleh pasukan sebelum ini.
“Pasukan juga berpuas hati melihat semua pemain sangat berdisiplin dan sikap mereka cukup baik di mana mereka menunjukkan keinginan yang tinggi untuk menang.
“Keyakinan yang mereka pamerkan cukup baik dan ia adalah petand positif kepada pasukan untuk mengharungi saingan Piala Malaysia selepas ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Perlawanan tersebut menyaksikan Gergasi Merah banyak menurunkan pemain muda dan salah seorang daripadanya ialah penjaga gol ketiganya, Muhammad Haziq Ridwan yang berusia 22 tahun dan beliau membuktikan kemampuan kepada pasukan apabila berjaya mengawal gawang daripada dibolosi pada penampilan pertamanya bersama Selangor.
Dalam aksi tersebut jaringan Mohd. Syahmi Safari dan Amri Yahyah sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat skuad Gergasi Merah bagi terus memperbaiki kedudukan dalam Liga Super selepas kekal bersaing dalam liga utama itu musim depan.
“Kami bersyukur dapat memperoleh tiga mata ketika beraksi di tempat lawan dan pada masa sama dapat memperbaiki kedudukan dalam liga meskipun kami telah berada dalam kelompok yang selamat untuk terus kekal di liga utama musim depan,” ujarnya Nazliazmi.










