ALOR SETAR – Kelab-kelab penyokong pasukan Kedah mengharapkan pengurusan dan pemain skuad Helang Merah tidak memandang mudah setiap pasukan lawan selepas diundi dalam kumpulan C pada saingan peringkat kumpulan kempen Piala Malaysia musim ini.
Penasihat kepada kelab-kelab penyokong Kedah, Azman Ahmad berkata, pasukan Kedah diramal mempunyai peluang agak cerah mara ke peringkat suku akhir piala berprestij itu berdasarkan undian tersebut.
Bagaimanapun, menurutnya, skuad Kedah tidak boleh memperkecilkan kemampuan dan kehebatan yang dimiliki pasukan Kelantan serta MISC-MIFA yang diundi dalam Kumpulan C.
Katanya, pada masa sama, Helang Merah juga akan turut berentap dengan finalis Piala Malaysia edisi lalu, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saingan Kumpulan C sebenarnya cukup mencabar kepada pasukan Kedah berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan skuad itu pada penghujung saingan Liga Super lalu.
“Kelab-kelab penyokong Kedah mengharapkan pasukan kesayangan mereka dapat bangkit semula dan mempertingkatkan prestasi dengan mempamerkan persembahan lebih cemerlang pada kempen Piala Malaysia ini,” katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini. – K! ONLINE










