BANGKOK – Lapan remaja daripada pasukan bola sepak ‘Mu Pa’ yang diselamatkan dari kompleks gua Tham Luang di Chiang Rai, mungkin terpaksa melupakan impian untuk menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia 2018 di Moscow kerana mereka perlu berada di hospital.
Setiausaha Tetap Kesihatan Awam Thailand, Dr. Jessada Chokdamrongsuk berkata, lapan remaja lelaki itu yang masing-masing diselamatkan pada Ahad dan semalam beransur pulih tetapi mereka perlu berada di hospital selama sekurang-kurangnya seminggu.
“Empat remaja pertama (yang diselamatkan pada Ahad) berumur antara 14 hingga 16 tahun mengalami suhu badan rendah dan dua daripada mereka pada mulanya menghidap Pneumonia tetapi keadaan mereka bertambah baik selepas mendapat rawatan dan antibiotik. Seorang daripada mereka juga mengalami luka di kaki,” katanya di Chiang Rai hari ini.
Seorang remaja daripada kumpulan kedua berumur antara 12 hingga 14 tahun mengalami degupan jantung yang perlahan namun keadaannya kembali normal.
Sampel darah remaja itu dihantar ke Bangkok untuk analisis lanjut bagi sebarang jangkitan, kata Jessada dan menambah, remaja terbabit yang ketika ini ditempatkan di Prachanukroh Hospital di wilayah itu akan turut menjalani sesi psikologi, sungguh pun mereka “kelihatan riang dan sekali-sekala ketawa.” – Bernama










