KUALA LUMPUR 30 Julai – Pelabur asing melupuskan RM498.4 juta ekuiti di Bursa Malaysia bagi minggu berakhir 27 Julai, meningkat dua kali ganda berbanding RM247.1 juta minggu sebelumnya.
Penganalisis MIDF Research, Adam M. Rahim berkata, pelabur global merupakan penjual bersih pada setiap hari sepanjang minggu itu, meneruskan momentum penjualan harian untuk tujuh hari.
“Jualan asing paling rendah adalah pada Isnin dengan hanya RM28.1 juta, terendah dalam sehari sejak 26 April lalu ketika selera risiko menjadi kukuh berikutan kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai 402 projek dalam perancangan dengan cadangan pelaburan RM75 bilion setakat Mei 2018.
“Angka itu kemudiannya meningkat pada hari Selasa dan Rabu yang masing-masing mencatatkan jualan RM129.1 juta dan RM244.2 juta meskipun dengan langkah China untuk mengembangkan rancangan fiskal,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan di sini hari ini.
Walau bagaimanapun Adam berkata, penjualan asing berkenaan kembali ke tahap yang terkawal pada Khamis dengan hanya RM35.7 juta.
“Sentimen dipulihkan semula susulan perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menggantungkan tarif perdagangan sementara menjalankan rundingan untuk meringankan sekatan bagi perdagangan transatlantik.
“Jualan pelabur antarabangsa meningkat sedikit pada Jumaat dengan jumlah RM61.3 juta ketika perhatian beralih semula ke China apabila AS merancang untuk meneruskan rundingan perjanjian bersama Mexico dan Kanada,” ujarnya.
Menurut Adam, Julai dijangka menjadi bulan dengan aliran keluar dana ketiga terendah setakat tahun ini dengan penjualan bersih berjumlah RM1.98 bilion pada Jumaat lalu.
“Di peringkat serantau, Malaysia ma- sih lagi menjadi pasaran dengan aliran keluar dana yang kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dikaji walaupun secara terkumpul nilainya mencecah RM9 bilion,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan pasaran dalam kalangan pelabur asing, peruncit dan dana institusi tempatan kekal kukuh.
“Nilai perdagangan harian purata (ADTV) bagi pelabur asing berkembang paling tinggi dalam seminggu sebanyak 8.7 peratus kepada RM1.15 bilion,” katanya.
Sepanjang minggu tersebut, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengekalkan aliran menaiknya yang memperoleh 0.82 peratus untuk ditutup pada 1,769 mata, tertinggi sejak 11 Jun lalu.
Namun sebaliknya, ringgit menyusut sedikit sebanyak 0.01 peratus kepada RM4.0625 berbanding dolar AS sekali gus menandakan penurunan buat enam minggu berturut-turut.










