KUALA PILAH – Kadar penembusan, kelajuan dan caj internet antara fokus utama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam visinya menjadikan masyarakat di negara ini sentiasa berpengetahuan dan mempunyai maklumat yang tepat serta pantas tentang sesuatu isu.
Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, rakyat mesti diberi maklumat tepat dan berimbang seberapa banyak yang boleh supaya mereka dapat bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan negara.
“Ini (internet) adalah masalah paling besar dalam telekomunikasi dan menerusi beberapa perbincangan bersama menteri (Gobind Singh Deo), memang ini menjadi fokus kementerian untuk dibincangkan bersama-sama pihak telekomunikasi supaya memperbaiki dan melakukan penambahbaikan kepada kemudahan internet sedia ada.
“Sebaik-baiknya kadar caj internet ini menjadi keutamaan dan perlu dikaji supaya kita dapat merangsang serta menarik lebih ramai rakyat menggunakan kemudahan internet bagi mendapat input dan maklumat yang tepat,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama.
Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, KKMM juga akan meneruskan dasar-dasar lama yang dilihat dapat memberi manfaat kepada rakyat seperti Pusat Internet 1Malaysia dengan melakukan penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatannya. – Bernama










