NILAI – Seorang pemegang Kad Pendaftaran Personel Binaan warga tempatan maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 272.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Mohd. Firdaus Angki, 34, yang dikategorikan sebagai Pekerja Binaan Mahir disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II, Harzizi Hashim berkata, mangsa maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sewaktu tiba di lokasi kejadian.
“Saksi awam mendakwa melihat kereta jenis Iswara Aeroback yang sedang bergerak di lorong kanan tiba-tiba hilang kawalan kerana dipercayai tayar pecah dan melanggar pembahagi jalan.
“Kejadian itu turut menyebabkan dua penumpang kereta tersebut, Nafsah Said, 35, dan Malahudin Mohammad, 30, mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Harzizi berkata, Nafsah mengalami kecederaan pada bahagian badan, muka serta kedua-dua belah tangan, manakala Malahudin cedera pada bahagian depan dan belakang badan.
Kata beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kemalangan itu pada pukul 10.34 malam dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.49 malam.
Jelas beliau, anggota bomba mengambil masa selama 10 minit bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, dua lagi mangsa kemalangan itu terlebih dahulu dikeluarkan oleh orang awam dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar ( HTJ) Seremban. – K! ONLINE










