KUALA LUMPUR – Pegawai akhbar sementara Menteri Belia dan Sukan, Numan Afifi Saadan yang menjadi bahan kecaman netizen sebelum ini mengambil keputusan meletak jawatan daripada tugas berkenaan.
Numan Afifi berkata, kecaman dan ancaman yang hebat oleh ejen propaganda pembangkang menyebabkan mustahil untuk dirinya menjalankan amanah yang diberikan.
“Saya akan ke luar negara dalam masa terdekat untuk menentukan apa hala tuju saya selepas ini.
“Saya berhasrat untuk mengulang dan menegaskan kenyataan Menteri bahawa setakat ini belum ada sebarang perlantikan rasmi di pejabat menteri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di laman Twitter miliknya hari ini.
Kosmo! Ahad lalu melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilanda kontroversi kecil selepas beliau didakwa melantik Numan Afifi yang juga aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai pegawai khas di pejabatnya. Syed Saddiq bagaimanapun menafikan lantikan tersebut.
Sementara itu, menjawab mengenai isu berkaitan namanya yang tertera di laman web rasmi kementerian berkenaan, Numan Afifi berkata, dia dimaklumkan bahawa terdapat unsur-unsur sabotaj dan siasatan sedang dijalankan.
“Menteri akan mengambil tindakan tegas ke atas dalang di sebalik perbuatan itu,” katanya.
Numan Afifi merupakan Presiden Kempen Pelangi yang mempelopori kesetaraan untuk golongan LGBT di negara ini. – K! ONLINE











