KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) segera menghentikan semua operasi kilang memproses sisa barang plastik di sekitar Kuala Langat, Selangor ekoran rungutan penduduk yang mendakwa diancam masalah kesihatan akibat pencemaran alam sekitar yang berlaku di kawasan tersebut.
Selain PBT, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) turut diarah mengkaji semula pembekalan elektrik dan air ke kilang-kilang kitar semula dan tempat pelupusan sampah yang memproses sisa barang plastik yang beroperasi di daerah tersebut.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar berkata, pihaknya memandang serius pembongkaran Kosmo! mengenai operasi kilang memproses sisa barang plastik yang aktif di kawasan Kuala Langat dalam tempoh kira-kira dua tahun lalu.










