Patuhi janji, bebaskan IPTA daripada politik - Gamis - Utusan Malaysia

Patuhi janji, bebaskan IPTA daripada politik – Gamis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menunaikan janji untuk membebaskan institut pendidikan tinggi awam (IPTA) daripada pengaruh politik, termasuklah melantik ahli politik sebagai ahli lembaga pentadbir institusi berkenaan.

MUHAMMAD FAIZUDDIN MOHD. ZAI
MUHAMMAD FAIZUDDIN MOHD. ZAI

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Muhammad Faizuddin Mohd. Zai berkata, jika janji itu gagal dipenuhi, dibimbangi IPTA terbabit akan dipengaruhi oleh ideologi politik yang dibawa oleh individu berkenaan dan menjejaskan perkembangan ilmiah di institusi terbabit.

Tegasnya, IPTA perlu mempunyai autonomi dan diketuai ahli akademik yang bebas; tidak berada dalam cengkaman serta pengaruh mana-mana parti politik baik kerajaan ataupun pembangkang.

“Hanya ahli akademik yang memahami nilai akedemik sebenar yang boleh diterjemahkan kepada institusi pendidikan yang ditadbir.

“Ideologi parti-parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang hanya mewakili sebahagian daripada masyarakat dan tidak sesuai dibawa di mana-mana IPTA,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau mengulas mengenai desas-desus mengatakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bakal dilantik menjadi Presiden baharu Universiti Islam Malaysia (UIAM) ekoran tamat tempoh perkhidmatan Tan Sri Dr. Rais Yatim pada awal Jun lalu. Rais dilantik ke jawatan itu pada 2 Jun 2013 bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Muhammad Faizuddin berkata, Malaysia tidak ketandusan ahli akademik yang mempunyai kelayakan dan kemahiran untuk menerajui IPTA.

Ramai dalam kalangan mereka, kata beliau, mempunyai pengalaman dan pendedahan pentadbiran meluas serta mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa apabila dilantik menjadi penasihat, pakar rujuk dan perunding cara industri oleh syarikat-syarikat multinasional.

Muhammad Faizuddin menambah, bekas Rektor UIAM, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan dan Pensyarah Undang-undang UIAM, Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz, antara calon yang paling layak menggantikan Rais.

“Mereka ini mempunyai kompetensi untuk menjawat jawatan tersebut berdasarkan kepakaran dan pengiktirafan yang diterima daripada akademia dan industri baik di peringkat tempatan serta antarabangsa.

“Cumanya, sebelum ini ramai dalam kalangan ahli-ahli akademik ini tidak diberi peluang dan ‘disekat’ suara mereka (oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini),” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN