KUALA LUMPUR 27 Julai – Hubungan cinta antara aktor Park Seo Joon dan aktres Park Min Young sudah tidak dapat disembunyikan lagi kerana akhbar Sport DongA berjaya mendedahkan kisah percintaan mereka hari ini.
Akhbar itu melaporkan pasangan pelakon drama What’s Wrong With Secretary Kim yang disiarkan menerusi saluran TvN (Astro 395) itu sebenarnya telah menjalin hubungan cinta secara rahsia sejak tiga tahun lalu.
Pemegang watak Timbalan Presiden Kumpulan Yoomyung Lee Young-joon dan setiausaha Kim Mi-so dalam drama 16 episod itu, sebelum ini berusaha untuk tidak mendedahkan kisah cinta mereka sehinggakan teman rapat masing-masing pun tidak mengetahui.
Menurut sumber terdekat, Seo Joon, 30, dan Min Young, 32, lebih selesa menjalin percintaan secara rahsia kerana tidak mahu kisah peribadi mereka mengatasi cerita kerjaya.
“Ramai yang ingin tahu tentang hubungan mereka. Tetapi mereka tidak mahu kehidupan peribadi mereka mendapat lebih banyak perhatian daripada kerjaya. Sehinggakan rakan-rakan terdekat pun tidak tahu kisah cinta mereka,” kata sumber tersebut.
Ekoran daripada pendedahan itu, ramai netizen yang telah mencari bukti tentang momen-momen cinta antara Seo Joon dan Min Youn yang pernah pergi bercuti bersama di Hong Kong dan Jepun yang dimuat naik dalam laman sosial mereka sebelum ini.
Sementara itu, pihak pengurusan Seo Joon, Awesome ENT, tampil menyanggah berita tersebut dan berkata, pasangan pelakon itu hanyalah sekadar rakan sekerja.
“Berita tentang kisah percintaan mereka adalah tidak benar. Nampak gayanya keserasian mereka dalam lakonan telah mencetus pelbagai spekulasi,” kata wakil Seo Joon.
Pada waktu yang sama, pengurusan Min Young juga berkata, kedua-dua pelakon berkenaan menjadi rapat kerana kerjasama mereka dalam drama What’s Wrong With Secretary Kim. – UTUSAN ONLINE










