KUALA LUMPUR 9 Julai – Penambahan papan tanda berbahasa Mandarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti yang tular dalam media sosial adalah bertujuan untuk memudahkan perjalanan pelancong dari China.
Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dalam kenyataan berkata, ini berikutan pertumbuhan pesat jumlah pelancong antarabangsa khususnya dari asia barat dan China yang rata-rata kurang mahir berbahasa Inggeris.
Kata kenyataan itu, ini ditambah lagi dengan majoriti pengguna KLIA sendiri apabila 70 peratus daripadanya merupakan penumpang antarabangsa.
“Sejajar dengan usaha negara yang ingin menggalakkan kedatangan pelancong, Kabinet yang lalu telah meluluskan penggunaan bahasa Arab dan Mandarin di dalam pengumuman tertentu di lapangan terbang antarabangsa untuk memudahkan perjalanan mereka di sini.
“Usaha ini telah dilanjutkan ke bahasa-bahasa yang digunakan di papan tanda tunjuk arah dan iklan-iklan tertentu yang menjurus kepada maklumat khusus bagi para pelancong dari negara tersebut, dengan syarat terdapat terjemahan sama ada di dalam bahasa kebangsaan ataupun bahasa Inggeris,” katanya dalam kenyataan hari ini – UTUSAN ONLINE










