Panglima Tentera Laut jamin ambil tindakan jika ada unsur jenayah - Utusan Malaysia

Panglima Tentera Laut jamin ambil tindakan jika ada unsur jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Julai – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit sekiranya siasatan mendapati wujud unsur jenayah dalam kes kematian Pegawai Kadet Graduan (PKG), J. Soosaimanicckam, ketika menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei lalu.

Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin
AHMAD KAMARULZAMAN

Ahmad Kamarulzaman menegaskan, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu ini.

“Tapi buat masa ini kita beri ruang kepada pihak penguat kuasa untuk melakukan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya, Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany yang menggantikan Laksamana Muda Datuk Khairuddin Khalid yang memangku jawatan itu sebelum ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan Kementerian Pertahanan sudah mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu.

Semalam, keluarga mendiang Soosaimanicckam, 27, menuntut agar siasatan secara telus dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Selain itu, pihak TLDM juga turut diminta untuk menjelaskan sebab mengarahkan mendiang untuk meneruskan latihan ketenteraan meskipun dia sudah memaklumkan kepada pegawai penyelianya tentang keadaan kesihatan diri yang tidak mengizinkan untuk meneruskan latihan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN