Pan Borneo akan distrukturkan semula - Utusan Malaysia

Pan Borneo akan distrukturkan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 10 Julai – Kerajaan negeri komited untuk mengkaji semula keseluruhan pelaksanaan projek mega Lebuh Raya Pan Borneo Sabah termasuk melakukan penstrukturan terhadap pengurusan bagi mengelakkan sebarang pembaziran serta ketirisan.

Menteri Pembangunan dan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, langkah itu sebagai usaha penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk mengatasi beberapa masalah yang wujud termasuk mengenalpasti kaedah mengurangkan kos.

“Kementerian telah diarahkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal supaya memperhalusi dan menilai semula kontrak-kontrak bagi projek untuk tujuan penambahbaikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini kerana, tiada penglibatan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) biarpun untuk tindakan pemantauan dilihat sangat ganjil dia ia perlu dikaji dan dinilai semula. Sebelum ini ianya diserahkan sepenuhnya kepada konsultan yang dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pembangunan Infrastruktur yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu terdiri daripada kakitangan agensi kementian dan orang awam di sini hari ini.

Terdahulu Peter turut menyerahkan sumbangan duit raya kepada 100 orang golongan kurang berkemampuan termasuk anak-anak yatim dan asnaf.

Mengulas lanjut Peter berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan sebagai pihak pemantau bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat diteruskan dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Jawatankuasa tersebut terdiri daripada pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan dibawah kementerian ini dan Kementerian Kewangan.

“Bagaimanapun kerajaan akan berusaha menerusi penambahbaikan yang akan dilakukan ini bakal menjimatkan kos serta untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.

Projek tersebut dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2016 menelan belanja sebanyak RM12.8 bilion bakal memberi kemudahan kepada kira-kira 3.7 juta rakyat sekali gus memberi jaminan kepada perkhidmatan pengangkutan bandar dan luar bandar yang lebih kondusif dan selamat.

Fasa pertama projek infrarakyat berkenaan melibatkan jajaran sepanjang 706 kilometer dari Sindumin ke Tanjung Simpang Mengayau di pantai barat dan dari Ranau ke Sandakan, Lahad Datu dan Tawau di pantai timur negeri ini.

Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui keseluruhan projek berkenaan meletakkan keyakinan penuh bahawa projek yang sedang giat dilaksanakan menerusi 35 pakej akan siap sepenuhnya seperti yang dijadualkan iaitu 31 Disember 2021. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×