TASEK GELUGOR 23 Julai – Projek agropelancongan di sini mampu menjana pendapatan buat penduduk serta menjadi sumber rezeki sampingan buat mereka terutama nelayan sungai serta pengusaha makanan tradisional.

Perkara itu diakui Pengarah Urusan Sheba Travel & Tours, Mohd. Lokman Laui yang mengendalikan pakej itu bagi membantu tiga koperasi yang terlibat iaitu Koperasi Nelayan Sungai Pengkalan Machang, Koperasi Nelayan Sungai Korok/Air Hitam serta Koperasi Nelayan dan Komuniti Labuh Banting.
Menurutnya, kawasan itu memiliki potensi besar untuk dimajukan sebagai tarikan pelancongan dan kurang dikenali oleh pelancong tempatan mahupun asing biarpun aktiviti ekonomi di kawasan itu bermula sejak sekian lama.
Katanya, kedudukannya yang tidak terlalu jauh dari Lebuh Raya Utara Selatan atau pusat bandar Seberang Jaya menjadikan Tasek Gelugor sebagai destinasi yang boleh dikunjungi dengan mudah.
“Di sini terdapat tiga jeti yang menjadi persinggahan pelancong iaitu jeti Kampung Chegar, jeti Pangkalan Machang dan jeti Labuh Banting yang masing-masing memiliki keistimewaan tersendiri.
“Tarikan utama pakej yang kami tawarkan adalah aktiviti pelayaran menelusuri Sungai Jarak dan Sungai Kulim seterusnya ke Sungai Perai sepanjang lebih 20 kilometer,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Lokman berkata, projek agropelancongan itu dimulakan sejak Mac lalu dan mendapat sambutan amat menggalakkan kerana rata-rata pelancong yang hadir teruja menikmati pengalaman baharu di sini.
Katanya, mereka berpeluang melihat nelayan sungai menangkap ikan dan udang galah menggunakan bubu atau jala, melihat cara pembuatan ikan pekasam, tapai atau lempeng kelapa, proses pembuatan rokok daun dan banyak lagi.
“Sebagai agensi pelancongan yang terlibat dengan trip dalam dan luar negara, saya merasa terpanggil untuk mempromosikan lokasi tempatan kepada pelancong luar sebagai satu tanggungjawab saya kepada negara.
“Banyak lagi tempat menarik di Pulau Pinang yang boleh diterokai termasuk program inap desa yang berjaya menarik minat pelancong luar negara terutama dari Jepun, Korea dan China,” katanya.










