KUALA LUMPUR 10 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan dilihat masih belum menyempurnakan 10 janji dalam tempoh 100 hari seperti yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun telah memegang tampuk pentadbiran selama dua bulan.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kesemua 10 janji utama manifesto berkenaan sama ada belum ditunaikan, tidak dilaksana atau ditangguhkan atas pelbagai alasan yang diberikan.
Antaranya kata Shahril Sufian, manifesto bagi menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat belum lagi ditunaikan.
Jelas beliau, GST masih belum dihapuskan, hanya ditetapkan pada kadar sifar peratus dengan pengurangan kadar tersebut tidak terbukti dapat mengurangkan harga barangan manakala tiada inisiatif peduli rakyat diperkenalkan.
“Janji menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar juga masih belum terlaksana apabila kerajaan mengembalikan semula subsidi pukal yang memberi lebih banyak kelebihan kepada golongan berpendapatan tinggi berbanding golongan yang memerlukan.
“Selain itu, kerajaan juga masih belum memberi perkembangan lanjut mengenai janji bagi menghapuskan hutang tidak wajar ke atas peneroka Felda sebaliknya terdapat aduan diterima disebabkan peneroka masih belum menerima pembayaran wang sara hidup bulanan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini. – UTUSAN ONLINE











