KUALA LUMPUR 5 Julai – Derita berterusan lebih 10,000 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Perumahan Awam (PA) Sri Langkawi dan PA Sri Kedah, di sini ekoran gangguan bekalan air masih belum berakhir.
Penduduk mendakwa, masalah itu berpunca daripada tangki dan saluran paip lama berusia lebih 20 tahun yang didapati rosak, berkarat dan tersumbat menyebabkan tekanan air menjadi rendah dan perlahan.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan berkenaan mendapati, dakwaan penduduk berasas selepas melihat bekalan air yang disalurkan kediaman mereka perlahan mengalir.
Senario itu dikatakan berlaku setiap hari malah turut mengalami gangguan untuk tempoh beberapa hari menyebabkan ia menimbulkan kesulitan kepada penduduk terutama warga emas.
Mereka terpaksa bersusah payah mendapatkan sumber bekalan air daripada pili bomba yang begitu terhad selain lori tangki dibekalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bomba.
Pemerhatian mendapati, paip-paip utama yang dihubungkan ke setiap saluran sangat usang dan lebih mengejutkan apabila tangki air utama turut mengalami kerosakan kritikal baik di bahagian bumbung, injap dan dinding.
Keadaan bumbung tangki yang rosak turut mendedahkan kepada risiko pembiakan Aedes selain pembuangan sampah-sarap oleh pihak bertanggunjawab.
Permasalahan itu bukan sahaja menyebabkan aliran air tersekat malah kebimbangan penduduk mengenai kualiti dan kebersihan air berkenaan selepas didapati bercampur dengan bahan-bahan terbuang dan karat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr. Tan Yee Kew berkata, beliau prihatin dengan permasalahan tersebut dan meminta DBKL bertindak mencari jalan penyelesaian.
“Hari ini saya mengadakan pertemuan bersama DBKL, persatuan penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan sebahagian penduduk untuk mencari kesepakatan.
“Saya berharap kerja-kerja menukar paip lama dan membaik pulih tangki baharu dilakukan segera bagi memastikan tiada lagi masalah air perlahan dan gangguan bekalan air di kawasan perumahan ini,” katanya.











