Ozil umum persaraan - Utusan Malaysia

Ozil umum persaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN 23 Julai – Bintang bola sepak Jerman, Mesut Ozil hari ini memberitahu, dia bakal meninggalkan skuad kebangsaan selepas menerima kecaman hebat berbaur perkauman selepas Piala Dunia 2018 kerana memiliki darah keturunan Turki.

Ozil, 29, merupakan salah seorang pemain utama yang membantu Jerman menjuarai Piala Dunia 2014 dan dipilih oleh peminat sebagai pemain terbaik dalam skuad tersebut sebanyak lima kali sejak 2011.

Pemain kreatif itu bagaimanapun berdepan kritikan hebat selepas bergambar bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Mei lalu.

Dia dan seorang lagi pemain keturunan Turki, Ilkay Gundogan yang turut berada dalam gambar tersebut diejek penyokong Jerman dalam perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia di Rusia.

“Dengan berat hati dan selepas membuat pertimbangan sewajarnya, saya tidak lagi akan bermain untuk Jerman di peringkat antarabangsa kerana saya berasakan tidak dihormati, selain kritikan berunsur perkauman yang saya terima,” kata Ozil menerusi akaun Twitter miliknya.

Jerman gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati di Rusia, membuatkan mereka tersingkir paling awal sejak 80 tahun menyertai kejohanan tersebut, dengan Ozil dijadikan kambing hitam susulan gagal membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan.

Pemain Arsenal itu berkata, Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) Reinhard Grindel turut menyalahkan dirinya ekoran prestasi hambar skuad Die Mannschaft.

“Di mata Grindel dan penyokongnya saya adalah pemain Jerman selepas menang, namun saya dilabel pendatang selepas kami kalah,” kata Ozil.

Lebih mengejutkan, Ozil mengkaui dirinya seperti tidak berasa diterima masyarakat Jerman meskipun membayar cukai di sana, membuat sumbangan kepada sekolah Jerman dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Dunia.

“Dengan hati yang berat dan selepas pertimbangan yang banyak kerana peristiwa baru-baru ini, saya tidak akan lagi bermain untuk Jerman di peringkat antarabangsa ekoran kritikan perkauman dan tidak menghormati saya.

“Saya pernah menyarung jersi Jerman dengan penuh kebanggaan dan keseronokan, tetapi sekarang tidak lagi.

“Saya berasa tidak diingini dan berfikir bahawa apa yang telah saya capai sejak penampilan antarabangsa saya pada tahun 2009 telah dilupakan begitu sahaja,” katanya. 
– REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN