CHIANG RAI 10 Julai – Kesemua 12 pemain dan seorang jurulatih pasukan bola sepak dikenali sebagai ‘Wild Boar’ yang terperangkap dalam gua Tham Luang selama 17 hari berjaya diselamatkan apabila lima mangsa terakhir dibawa keluar di sini, hari ini.
Mangsa terakhir adalah empat lagi remaja bersama-sama seorang jurulatihnya.
Kejayaan mengeluarkan kesemua mangsa dimuat naik di laman Facebook rasmi pasukan SEAL Tentera Laut Diraja Thailand.
“Seramai 12 remaja (berusia 11-16 tahun) dan jurulatih, 25, berjaya dikeluarkan dan mereka semua selamat,” kata kenyataan di Facebook pasukan terbabit.
Operasi menyelamat penuh berisiko dan dianggap mustahil menyaksikan empat remaja diselamatkan setiap hari sejak Ahad lalu.
Lapan remaja yang berjaya dibawa keluar dari gua itu sebelum ini, dilaporkan sihat dan mula meminta untuk makan roti coklat daripada pihak hospital.
Kesemua remaja memakai cermin mata hitam untuk melindungi mata mereka selepas berada dalam gua yang amat gelap selama lebih dua minggu.
Bagaimanapun dua daripada remaja terbabit disyaki mengalami jangkitan paru-paru manakala seorang lagi disahkan demam.
Remaja berkenaan masih dikuarantin kerana risiko jangkitan dan mereka perlu menjalani rawatan susulan selama seminggu lagi di Hospital Prachanukroh.
Berikutan itu, kesemua mereka terlepas peluang menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2018 di Moscow, Rusia pada Ahad ini.
Minggu lalu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menjemput kesemua mangsa ke Moscow sekiranya mereka berjaya diselamatkan.
Dalam perkembangan lain, usahawan angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), Elon Musk tiba di Thailand malam tadi bersama-sama sebuah kapal selam mini ciptaan syarikatnya untuk membantu dalam operasi menyelamat.
Musk, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, dibawa masuk ke dalam gua Tham Luang yang ditenggelami air itu untuk meninjau dari dekat keadaan semasa.
“Baru pulang dari Cave 3 (gua ketiga). Kapal selam mini sedia untuk diguna jika diperlukan. Ia diperbuat daripada bahagian roket dan diberi nama ‘Wild Boar’ bersempena nama pasukan bola sepak remaja itu. (Saya) tinggalkannya di sini, kalau-kalau berguna pada masa akan datang. Thailand sebuah negara yang sungguh indah,” kata Musk menerusi Twitter hari ini.
Cave 3 terletak kira-kira dua kilometer dari mulut gua tersebut dan menjadi markas bekalan bagi penyelam dari pasukan SEAL Tentera Laut Diraja Thailand manakala 12 remaja dan jurulatih mereka terperangkap itu di tubir berair yang letaknya beberapa kilometer jauh ke dalam gua berkenaan.
Kejadian remaja dan jurulatih Thai terperangkap dalam gua berkenaan sejak 23 Jun, menarik perhatian dunia.
Bimbang hujan monsun yang boleh memburukkan lagi keadaan banjir di dalam gua itu sehingga mengancam mereka menyebabkan pasukan penyelamat termasuk rakyat asing dari Britain dan Amerika Syarikat melancarkan operasi menyelamat. – REUTERS/BERNAMA










