BANGKOK – Operasi membawa keluar empat lagi pemain pasukan bola sepak “Wild Boars” dan jurulatih mereka berusia 25 tahun yang masih terperangkap di dalam kompleks gua Tham Luang di Chiang Rai, di utara Thailand, bermula pada kira-kira 10 pagi ini (waktu tempatan).
Bekas gabenor Chiang Rai, Narongsak Ossothanakorn, yang mengumumkan bermulanya operasi menyelamat terakhir itu, berkata mereka berharap dapat mengeluarkan kesemua lima mangsa yang masih terperangkap di dalam gua dilanda banjir itu hari ini, bersama-sama seorang doktor dan tiga penyelam daripada pasukan SEAL Tentera Laut Diraja Thailand.
“Kami berharap kesemua sembilan mereka akan keluar bersama-sama hari ini,” katanya kepada media di Chiang Rai di sini, hari ini.
Beliau berkata, doktor dan tiga penyelam itu ditempatkan bersama-sama mangsa untuk menemani mereka sejak mangsa ditemukan di dalam gua berkenaan.
Narongsak, yang mengetuai operasi menyelamat itu berkata ,19 penyelam telah memasuki gua berkenaan dalam misi terakhir mereka untuk menyelamatkan remaja terbabit dan jurulatih mereka. – Bernama









