OPCW dakwa temui bukti serangan klorin - Utusan Malaysia

OPCW dakwa temui bukti serangan klorin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOUMA 7 Julai – Pertubuhan Bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) telah menemu bukti penggunaan klorin dalam serangan terhadap bandar Douma, Syria pada April lalu yang mengorbankan berpuluh-puluh orang awam.

Laporan pertubuhan itu yang disiarkan semalam adalah berdasarkan saksi dan bukti yang dikumpulkan di kawasan serangan.

Menurut laporan tersebut, kesan klorin terdapat pada dua daripada empat lokasi siasatan tetapi tiada bukti agen saraf ditemukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelbagai jenis bahan kimia organik berklorin ditemukan dalam sampel di lokasi 2 dan 4 termasuk sisa bahan letupan,’’ lapor pertubuhan berkenaan.

Tiada kesan bahan kimia ditemukan di dua lokasi iaitu sebuah gudang dan kemudahan yang disyaki digunakan untuk menghasilkan senjata kimia.

“Daripada maklumat yang dikumpulkan semasa kunjungan di kedua-dua lokasi itu, tidak terdapat kesan yang menunjukkan lokasi itu terlibat dalam pengeluaran agen kimia perang atau bahan kimia toksid yang digunakan sebagai senjata,’’ menurut laporan tersebut yang dipetik oleh portal AlJazeera.

Walau bagaiamanapun lapornya, adalah terlalu awal untuk membuat rumusan penuh kerana `usaha pasukan tersebut untuk mendapatkan keputusan yang penting masih berjalan’.

Anggota penyelamat dan perubatan berkata, kira-kira 40 orang terbunuh dalam serangan berkenaan kebanyakannya dari sebuah blok bangunan apabila sebuah silinder jatuh di atas bumbung bangunan.

Pasukan itu masih meneruskan siasatan di lokasi silinder berkenaan selain mencari punca silinder itu yang memerlukan analisis komprehensif.

Ketika serangan pada 7 April itu, bandar Douma dikuasai kumpulan penentang dan berdepan serangan udara dan darat daripada tentera kerajaan sebelum mereka melepaskan penguasaan bandar itu beberapa hari selepas kejadian tersebut.

Misi mencari bukti OPCW dilancarkan selepas masyarakat antarabangsa berang dengan imej kanak-kanak dan orang dewasa yang menderita akibat serangan senjata toksid.

Terdahulu, kumpulan pakar itu gagal memasuki Douma kerana masalah keselamatan sebelum dibenarkan beberapa hari kemudian untuk memasuki bandar yang pernah dikuasai oleh kumpulan penentang.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN