Nyanyian DJ Dave ubat kerinduan Pok Dir - Utusan Malaysia

Nyanyian DJ Dave ubat kerinduan Pok Dir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Kehadiran penghibur tersohor tanah air, Datuk DJ Dave ke kediaman pelakon tambahan filem Ali Baba Bujang Lapok, Abdul Kadir Mamat, 78, di Kampung Kedai Lalat di sini mengubat kerinduan lelaki warga emas itu.

Malah, Abdul Kadir yang mesra dengan panggilan Pok Dir meluahkan rasa terharu apabila Dj Dave atau Irwan Shah Abdullah mendendangkan lagu pertamanya, Ku Tak Ingin Menangis Lagi khas untuk dirinya yang bergelut dengan keuzuran.

DJ Dave yang merupakan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) hadir bersama  bekas penyanyi rock Lefthanded atau pemegang amanah yayasan tersebut, Datuk Nash atau Jamaludin Elias.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut DJ Dave, yayasan tersebut sentiasa cakna dengan nasib artis tanah air dan mengambil inisiatif datang sendiri selepas membaca berita keuzuran bekas pelakon di era zaman Tan Sri P. Ramlee.

“Kehadiran ini bukan sahaja untuk memberi sumbangan sahaja tetapi memberi semangat kepada Pok Dir yang kini dalam keadaan kemerosotan kesihatan.

“Seorang seniman, artis dan pelakon bukan minta apa-apa pun tetapi kehadiran ini adalah untuk menghargai sumbangannya dalam dunia hiburan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pok Dir berkata, dia bagaikan tidak mampu berkata-kata apabila dua selebriti terkemuka tanah air itu sanggup datang sendiri ke kediamannya bertanyakan khabar.

“Saya tida mampu kata apa-apa, terima kasih, jutaan terima kasih. Cuma saya mohon Datuk DJ Dave nyanyikan lagu Ku Tak Ingin Menangis Lagi sahaja, rindu sejak kali pertama mendengarnya secara langsung pada 1973,” ujarnya disambut gelak ketawa DJ Dave dan Nash.

Pok Dir pernah membintangi filem arahan P. Ramlee seperti Kanchan Tirana, Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok serta beberapa filem lagi.

Dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan Tan Sri P. Ramlee, Pok Dir merupakan penyamun pertama yang dijirus dengan minyak panas oleh Marjina yang merupakan lakonan Seniwati Datuk Sarimah Ahmad.

Kosmo! pada 3 Februari lalu ada menyiarkan rencana berkenaan suka duka kehidupan Pok Dir anak jati kelahiran Kampung Berhala Lima, Peringat, yang kini menetap di Kedai Lalat di sini. 

Akhbar pada minggu lalu melaporkan Pok Dir berada dalam keadaan uzur sejak lebih sebulan lalu. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×