KUALA TERENGGANU – Sudahlah mencuri, rempuh pula kapal penguat kuasa.
Itulah sikap kurang ajar sekumpulan 17 nelayan Vietnam yang merempuh kapal Maritim Malaysia (APMM), KM Nusa ketika cuba ditahan selepas disyaki menceroboh perairan Terengganu di kedudukan 85 kilometer dari muara Kuala Terengganu kelmarin.
Kejadian pukul 10.45 malam itu berlaku ketika sepasukan penguat kuasa APMM mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan.
Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Terengganu, Komander Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, pelanggaran itu mengakibatkan KM Nusa mengalami kerosakan kecil.
“Bagaimanapun, ia tidak menghalang 16 kru kapal termasuk pegawai APMM untuk menahan bot nelayan itu selepas dikejar selama sejam. Pemeriksaan menemui lima tan ikan baja, 2.5 tan ikan pelbagai jenis, 50 kilogram sotong kering, 3,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan.
“Kesemua rampasan itu dianggarkan berjumlah RM1.5 juta. Kesemua nelayan berusia antara 20 hingga 40 tahun tersebut tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.











