ALOR SETAR 13 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan asing daripada Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 0.7 batu nautika Pulau Perak, Langkawi semalam.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama (M) Rozali Mohd. Said berkata, bot nelayan yang dinaiki seorang tekong bersama empat awak-awak itu ditahan semasa kapal maritim KM Siangin membuat rondaan pada kira-kira pukul 4 petang.
Katanya, bot nelayan asing itu ditahan kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran dan disyaki melaksanakan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan awal mendapati kesemua nelayan warga Indonesia yang berumur antara 19 hingga 53 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. Malah, salah seorang dari awak-awak tidak mempunyai pengenalan diri.
“Bot tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Rozali memberitahu, pihaknya menyeru orang ramai terutamanya komuniti maritim agar segera menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh di salurkan ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis (24 jam) di talian 04-9662750,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










