Najib pulang ke rumah, gembira melayan Kiki - Utusan Malaysia

Najib pulang ke rumah, gembira melayan Kiki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Julai – Biarpun melalui hari yang panjang sejak semalam berikutan penangkapan dan pendakwaan berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd., namun Datuk Seri Najib Tun Razak masih mampu tersenyum meluangkan masa dengan kucing kesayangannya, Kiki.

Dalam satu catatan di akaun Instagram anaknya, Ashman, bekas Perdana Menteri itu kelihatan tenang dan tersenyum sambil memegang Kiki di kediaman beliau.

Menerusi catatan itu, Ashman turut menzahirkan kesyukuran di atas kepulangan Najib ke rumah keluarga mereka di Jalan Langgak Duta dekat sini hari ini selepas semalaman ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Alhamdulillah, telah pulang ke rumah bersama dengan keluarga `daddy’.

“Kiki sangat merindui kamu,” katanya.

Najib hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn. Bhd. dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu membabitkan RM42 juta.

Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta berserta dua penjamin dan pasport biasa serta pasport diplomatik beliau diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Dalam pada itu, Ashman turut mengambil kesempatan menerusi catatan itu untuk menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sokongan diberikan kepada mereka sekeluarga.

“Doa dan sokongan anda semua akan membantu kami menghadapinya,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN