MOF arah penggantungan tiga projek berbilion ringgit - Utusan Malaysia

MOF arah penggantungan tiga projek berbilion ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mengeluarkan Notis/Arahan Penggantungan Kerja dan Perkhidmatan bagi tiga projek berbilion ringgit iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, notis berkenaan dikeluarkan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada 3 Julai, 2018 kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB), yang menguruskan projek MPP dan TSGP, serta China Communications Construction Company (CCCC) iaitu kontraktor utama ECRL.

“Notis penggantungan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

“Perlu ditegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah semata-mata ke atas syarikat yang berkaitan dengan peruntukan dalam surat perjanjian dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat arahan itu selepas mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara.

Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) telah diberi mandat untuk melaksanakan projek MPP dan TSGP. Pada 1 Nov, 2016 kedua-dua projek itu telah diberikan kepada CPPB.

Beliau berkata, SSER telah membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion meskipun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggarkan pada tahap 13 peratus.

Kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion itu belum lagi mengambil kira kos perjanjian pengambil alihan tanah, dua perjanjian perundingan pakar dan satu perjanjian penyenggaraan, yang bernilai RM1.7 bilion, katanya.

Sementara itu, fasa pertama projek ECRL yang menghubungkan Gombak, Selangor dan Wakaf Bharu, Kelantan telah diluluskan Kabinet pada 2016 manakala fasa kedua antara Gombak dan Pelabuhan Klang, Selangor diluluskan pada 2017.

Projek ECRL, merupakan projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang hingga Pengkalan Kubor, Kelantan dilaksanakan oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dengan CCCC dilantik sebagai kontraktor utama.

“Kos keseluruhan sebenar projek  ECRL dijangkakan mencecah RM81 bilion, termasuk  kos pengambilalihan tanah dan faedah  pinjaman  semasa  pembinaan projek,” kata Guan Eng.

SSER dan MRL merupakan syarikat milik penuh MKD. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN