KUALA LUMPUR 31 Julai – MJN Motors Sdn. Bhd. melabur RM6 juta untuk membuka pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) terbaharu Honda di Cheras bagi meningkatkan akses kepada para pelanggan di sekitar Lembah Klang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, pusat 3S seluas 11,000 kaki persegi itu menyediakan kemudahan dan peralatan terkini yang mematuhi standard Honda.
Katanya, secara keseluruhannya terdapat 12 tempat membaiki kenderaan yang mampu menampung kapasiti sehingga 30 buah kereta sehari.
“Selain daripada kemudahan servis, pusat ini juga menawarkan pelbagai kemudahan kepada para pelanggan seperti kawasan rehat, ruang kanak-kanak, kafe serta surau. Kemudahan berkenaan bakal meningkatkan lagi keselesaaan mereka ketika berurusan di pusat 3S ini.
“Terdapat juga perkhidmatan tambahan seperti pembaharuan cukai jalan dan insurans,” katanya dalam majlis perasmian pusat 3S Honda MJN Motors di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










