MICHIGAN 29 Julai – Jose Mourinho meluahkan kekecewaannya terhadap proses perpindahan Manchester United apabila mendedahkan, dia hanya menjangkakan dapat membeli satu pemain menjelang musim baharu, selain bakal kehilangan Nemanja Matic pada awal saingan akibat kecederaan.
Pengurus United itu mendakwa, dia menyerahkan senarai lima pemain untuk dibeli kepada naib pengerusi kelab, Ed Woodward, Mac lalu tetapi sehingga kini masih menunggu jawapan pada ketika pasaran perpindahan tinggal 12 hari untuk ditutup.
Dua tonggak pertahanan, Harry Maguire serta Yerry Mina dikaitkan dengan United, dan Mourinho masih tidak berputus harap penambahan pemain dapat dilakukan sebelum 9 Ogos.
“Saya mahu sekurang-kurangnya dua lagi pemain tetapi saya fikir, mungkin saya tidak akan dapat dua, kemungkinan besar hanya satu.
“Saya serahkan senarai lima pemain kepada kelab beberapa bulan lalu dan masih menunggu keputusan. Namun, terdapat kemungkinan saya hanya boleh membeli seorang daripada pemain ini.
“Kalau saya dibenarkan beli, ia perkara bagus tetapi jika tidak, kami kena terus berjuang dan bekerja, serta percaya kepada barisan pemain sedia ada,” kata Mourinho kepada pemberita.
Mourinho percaya, United bakal bergelut pada awal musim Liga Perdana Inggeris melihat kepada senarai tonggak yang belum melapor diri serta mengalami kecederaan akibat Piala Dunia dan aksi pramusim.
Kelemahan pasukannya didedahkan oleh Liverpool hari ini, selepas anak-anak buah Jurgen Klopp itu membenam mereka 4-1 dalam perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa di Ann Arbor, Michigan.
“Ia tiada kaitan dengan mendapatkan bantuan.
“Pasukan bantuan kami adalah (Paul) Pogba, (Marouane) Fellaini, (Victor) Lindelof, (Marcus) Rashford, (Jesse) Lingard, Matic, (Antonio) Valencia.
“Kami tidak membariskan pasukan sebenar…Kami bermula dengan separuh pemain yang mungkin tidak akan berada dalam pasukan ini pada 9 Ogos nanti,” kata Mourinho ketika mengulas mengenai kekalahan kepada Liverpool.
Dalam aksi hari ini, United yang beraksi tanpa beberapa bintang termasuk Pogba, Lukaku, Lindgard, Rashford dan David de Gea memperoleh gol tunggal menerusi Andreas Pereira pada minit ke-31.
Jaringan Liverpool pula disempurnakan Sadio Mane (penalti), Daniel Sturridge, Oluwaseyi Ojo dan gol akrobatik Xherdan Shaqiri. – AGENSI










